Home
PDF Print E-mail
Written by Administrator   

TERJEMAHAN SALASILAH MUAR


( Pada 3 Februari tahun 1906 disalin ini )

“Fasal Pada Menyatakan Keterangan Raja-Raja Temenggong Di dalam Negeri Muar”


Maka adalah keturunannya itu mula-mulanya daripada seorang kaum Hashim yang bernama Sayyid Idrus yang turun dari Hadramaut ke negeri Acheh tempatnya bernama Kampung Pasir hingga beberapa tahun tinggal di sana maka diambil oleh Sultan Acheh dijadikan menantunya, beristerilah ia dengan kebangsinya anak Sultan Acheh itu. Tidak beberapa lama antaranya hamillah isterinya itu hingga berputera akan seorang anak laki-laki dinamakan ayahandanya Sayyid Zainal Abidin. Maka apakala besarlah Sayyid Zainal Abidin itu lalu bermohon kepada ayahandanya hendak pergi ke Tanah Johor Lama dan diperkenankan oleh ayahandanya permintaannya itu lalu pergi ke Johor Lama. Maka sampailah ia dengan selamatnya. Tidak beberapa lama antaranya diambillah oleh al-Marhum Kota Tinggi dikahwinkan dengan kebangsinya.

Maka dengan tiada berapa lamanya hamillah isterinya itu. Apakala sampai nasabnya lalu berputeralah ia seorang anak laki-laki dinamakan ayahandanya Maharaja Seri Diraja maka apakala besarlah Maharaja Seri Diraja itu lalu dikahwinkan oleh ayahandanya di dalam negeri Johor Lama hingga beberapa tahun lamanya tiadalah ia mengadakan putera. Maka pada satu malam bermimpilah Maharaja Seri Diraja itu datang seorang tua menyatakan katanya jika engkau hendak beristeri pergilah engkau ke Negeri Muar dan ambillah tunangnya orang hendak berkahwin di sana buat isteri supaya engkau mendapat anak.

Dan apakala habis perkataan orang tua itu maka terkejutlah ia lalu bangun daripada peraduannya langsung pergi mengadap nendanya al-Marhum Kota Tinggi. Maka apakala sampai ke istana nendanya itu ditegurlah nendanya, katanya, “Ya cucuku apakah halnya maka mengadap nenda pagi-pagi ini?” Maka oleh Maharaja Seri Diraja segeralah menyahut pertanyaan nendanya lalu menyembahkan segala hal yang telah dimimpikannya itu. Setelah didengar oleh nendanya akan hal mimpinya itu lalu ia bertitah katanya, “baiklah segeralah ya cucuku pergi ke Negeri Muar mudah-mudahan dikabulkan Allah akan bagaimana mimpimu itu.”

Setelah bertitah al-Marhum itu segala orang-orang negeri pun bersiaplah segala alatan pelayaran itu akan membawa Maharaja Seri Diraja ke Negeri Muar. Setelah genaplah waktunya pada saat yang sempurna lalu belayarlah Maharaja Seri Diraja menuju ke Negeri Muar itu lalu kedengaran bunyi-bunyian permainan orang hendak kahwin maka ditujunyalah ke situ. Didapatinya di Kampung Orang Kaya Darma di Muar.

Apakala sampai ia berjumpa dengan seorang tua maka bertanyalah ia, katanya, “Apakah sebab bermainan segala bunyi-bunyian di sini? Siapakah yang hendak berkahwin?” Disahut oleh orang tua itu, “iaitulah anak Orang Kaya Darma yang perempuan hendak kahwin.” Maka Maharaja Seri Diraja pun menuju ke pengkalan Orang Kaya itu serta didapatinya ramai orang-orang perempuan yang ada di jambatan pengkalan itu. Tetapi apakala dilihat oleh segala perempuan akan perahu datang menuju ke pengkalan itu lalu larilah segala perempuan itu. Hanyalah yang tinggal seorang perempuan anak Orang Kaya Darma yang hendak kahwin itu. Maka dihampirinya, katanya, “Siapa yang hendak kahwin di sini?”. Lalu dijawabnya oleh budak perempuan itu, “hambalah!!”

Apakala didengar oleh Maharaja Seri Diraja akan perkataan budak perempuan itu maka ia pun mencabut cincin daripada jarinya dimasukkannya kepada jari budak perempuan itu. Seraya katanya, “Pergilah engkau balik kepada bapamu, tunjukkan cincinku ini dan khabarkan kepadanya aku hendak kahwin dengan engkau dan aku minta bapamu menghantarkan engkau ke Johor di dalam tempuh tujuh hari. Aku tahu ada sampai, serta bawalah sekali tunangmu itu.” Setelah habis ia berkata-kata dengan budak perempuan itu maka ia pun belayarlah balik ke Johor.


Al-kisah tersebutlah perkataan orang-orang yang meninggalkan budak perempuan itu di pengkalan, katanya, “Ada perahu perompak datang. Itulah hamba sekelian lari dan budak perempuan tinggal itu tentulah dibawa perompak lari.” Maka menangislah segala orang-orang yang ada di situ oleh sangkaannya budak perempuan itu dibawa perompak lari. Apatah lagi bapanya seakan pengsan rupanya. Tengah-tengah orang bertangis-tangisan itu budak perempuan itu pun baliklah ke rumah dengan sendirinya lalulah masing-masing bertukar duka menjadi suka, lalu masing-masing bertanya siapakah yang datang tadi dan Orang Kaya Darma laki isteri pun datang mendapatkan anaknya sambil bertanya, maka budak perempuan itu menjawab pertanyaan bapanya. Katanya, “Yang datang tadi itu Maharaja Seri Diraja dari Johor, inilah cincin diberinya hamba dan ia ada berpesan kepada hamba meminta ayahanda membawakan hamba ke Johor di dalam tempuh tujuh hari ini kerana ia hendak kahwin dengan hamba dan disuruh membawa tunangan hamba itu sekali.”

 

Setelah didengar oleh Orang Kaya Darma akan perkataan anaknya itu takjublah fikirannya lalu bertangis-tangisan semula. Setelah sudah bertangis-tangisan itu lalu berkata Orang Kaya Darma besok mulalah bersiap sekali sekoci kerana hendak belayar ke Johor membawakan anaknya kerana hendak dikahwinkan dengan Maharaja Seri Diraja. Setelah siap segala alatan pelayaran dan perbekalan itu maka waktu yang baik lalu belayarlah Orang Kaya Darma itu menuju ke Johor. Tahap beberapa lama antaranya sampailah ia ke Johor lalu mengadap al-Marhum Kota Tinggi menyembahkan segala hal yang jadi itu. Setelah habis perkataan Orang Kaya itu lalu bertitah al-Marhum itu, “Baiklah segera kita kahwinkan anakmu dengan Maharaja Seri Diraja dan tunangnya itu aku beri cap bebas di dalam jajahan aku.” Tiada beberapa hari antaranya orang-orang pun mulalah meletakkan kerja kahwin, maka pada waktu yang baik dan hari yang baik dikahwinkan oleh al-Marhum dan Orang Kaya Darma akan Maharaja Seri Diraja dengan anak Orang Kaya itu.

 

Dengan tiada beberapa bulan lamanya dengan qudrat Tuhan hamillah isterinya itu. Setelah sampai nisabnya, zahirlah seorang anak laki-laki dinamakan ayahandanya Dato’ Engku Pasir Diraja, kemudian daripada itu mendapat anak pula seorang laki-laki juga dinamakan Bendahara Padang Saujana dan kemudian hamillah pula serta mendapat anak perempuan dinamakan Marhum Bakal. Setelah besarlah ketiga putera itu maka Marhum Bakal itu diambil oleh al-Marhum Kota Tinggi dijadikan isteri serta titahnya kepada Dato’ Pasir Diraja serta Bendahara Padang Saujana, “Ambillah olehmu akan Negeri Muar akan jadi ianya mas kahwin bagi saudaramu dengan tiada boleh direstu oleh siapa-siapa jua.”

 

Shahadan setelah beberapa tahun lamanya al-Marhum Kota Tinggi itu bersama-sama Marhum Bakal itu dapatlah seorang putera laki-laki. Ada kira-kira cepat berlalu puteranya itu maka al-Marhum Kota Tinggi itupun mangkatlah pula. Dan kerajaannya dipangku oleh Dato’ Pasir Diraja hingga beberapa tahun lamanya. Kemudian mangkatlah pula anakanda al-Marhum itu di atas julangan ditikam dengan oleh hulubalangnya yang bernama Megat Seri Rama menderhaka.

Kemudian maka alam Negeri Johor pun gaduhlah kerana tiada siapa yang hendak digantikan kerajaan ayahandanya. Hatta maka bermuafakatlah segala raja-raja, menteri, hulubalang, rakyat sekeliannya merajakan Dato’ Pasir Diraja di alam Johor, maka titahnya, “Tiada sekali-kali beta mahu kerana seolah-olah beta menyukakan anak beta mati,” kemudian titahnya pula, “Terlebih baik saudara beta Padang Saujana dinaikkan kerajaan dalam negeri dan di alam Johor ini.” Maka segala menteri, hulubalang, rakyat sekelian pun merajakan Bendahara Padang Saujana itu. Beberapa lamanya duduk di atas takhta kerajaan maka sebab pun baginda itu digantikan menjadi raja di alam Johor kerana marhum yang mangkat dijulang itu belum mengadakan putera. Sungguhpun zahirnya tiada berputera tetapi khabar kononnya pula ada ia berputera seorang anak laki-laki dipeliharakan oleh nendanya di Negeri Minangkabau. Hatta setelah Bendahara Padang Saujana menjadi raja di dalam Johor maka kekandanya bernama Dato’ Pasir Diraja itu pun berangkatlah ke Negeri Muar, duduklah ia memerintah di dalam Muar dengan aman dan selamatnya.


Al-kisah tersebutlah perkataan Dato’ Engku Pasir Diraja yang telah beraja di dalam Muar itu maka baginda itu ada dua orang putera laki-laki. Yang tuanya bernama Sa’Akar Diraja, yang muda bernama Engku Paduka Tuan. Maka putera yang bernama Sa’Akar Diraja itu dijadikan ayahandanya Temenggong di dalam Muar. Maka tiada beberapa tahun lamanya baginda itu memerintah dalam Muar maka mengadakanlah baginda itu dua orang putera laki-laki yang telah bernama Engku Sa’Amar Diraja. Yang muda bernama Engku Perdana Menteri. Maka apakala mangkatlah Temenggong Sa’Akar Diraja itu maka Engku Sa’Amar Diraja itupun dijadikan oranglah Temenggong menggantikan ayahandanya. Maka baginda itu ada berputera tiga orang, yang tuanya laki-laki bernama Engku Burok, yang tengah laki-laki bernama Engku Abdul Qadir, timang-timangannya Engku Muda Tanjung. Dan yang bongsu bernama Engku Pandak. Apakala telah mangkatlah ayahandanya yang bernama Engku Sa’Amar Diraja itu maka Engku Burok itupun menggantikan ayahandanya bergelarlah Engku Temenggong Burok.


Hingga beberapa tahun lamanya baginda itu memerintah makangadakanlah ia dua orang putera, yang tuanya bernama Engku Kunit, yang mudanya bernama Engku Ibrahim, maka setelah mangkatlah ayahandanya Engku Temenggong Burok itu maka digantikan oranglah akan putera yang tua bernama Engku Kunit menjadi Temenggong. Maka Engku Temenggong Kunit itu ada mengadakan dua orang putera. Putera yang tua perempuan bernama Engku Chomot, yang muda laki-laki bernama Engku Saiyid. Bondanya bernama Engku Puan. Dan adinda baginda Engku Temenggong Kunit yang bernama Engku Ibrahim itu ada mengadakan lima orang putera. Yang tua perempuan bernama Engku Mi. Yang kedua Engku Jinal, yang ketiga Engku Ismail, yang keempat bernama Engku Idris, yang kelima bernama Engku Timah. Maka apakala mangkatlah Engku Temenggong Kunit itu maka puteranya yang bernama Engku Saiyid itu menggantikan ayahandanya hingga beberapa tahun lamanya. Maka baginda itu tidak mengadakan putera seorang juapun hingga mangkatlah ia.


Maka bermuafakatlah segala menteri, hulubalang, rakyat sekelian hendak menggantikan al-Marhum itu. Kemudiannya dapatlah kepada saudara sepupunya yang bernama Engku Ismail putera daripada Engku Ibrahim itu menjadi Temenggong. Maka pada masa Temenggong Ismail ini Kerajaan Muar telah beraja ke Johor kepada Engku Temenggong Abu Bakar yang memerintah Johor Baharu. Kemudiannya menjadi sultan pula ia. Bagaimana yang tersebut di dalam ‘treaty’ Muar bertarikh 16hb November 1877M. Tetapi sungguhpun Kerajaan Muar itu beraja kepada Engku Temenggong Johor itu maka segala cukai-cukai yang keluar dari jajahan Muar terserah kepada Engku Temenggong Ismail itu bagi makanannya.


Maka Engku Temenggong Ismail itu ada mengadakan sebelas orang putera. Yang pertama bernama Engku Abdullah yang telah mangkat dan dimakamkan di Negeri Sembilan, Johol kampung bernama Maliki, yang kedua Engku Muhamad Saleh, yang ketiga bernama Engku Mahmud, yang keempat bernama Engku Kechut perempuan, yang kelima bernama Engku Jaafar, yang keenam bernama Engku Aminah perempuan, yang ketujuh bernama Engku Maimunah perempuan, yang kedelapan bernama Engku Abdul Qadir, yang kesembilan bernama Engku Daud, yang kesepuluh bernama Engku Hamidah perempuan, yang kesebelas bernama Engku Aishah. Maka Engku Mi, Engku Jinal tiada berputera. Engku Idris mengadakan tiga orang putera, yang tua perempuan bernama Engku Aminah. Yang kedua bernama Engku Ibrahim, yang ketiga bernama Engku Maimunah.

Engku Tik mengadakan dua orang putera, yang pertama bernama Engku Sulong, yang kedua Engku Nong atau Engku Amar. Dan putera Engku Temenggong Ismail yang bernama Engku Abdullah dan Engku Jaafar dan Engku Aminah dan Engku Maimunah dan Engku Abdul Qadir dan Engku Daud dan Engku Aishah sekalian tiada mengadakan putera. Maka Engku Muhamad Saleh ini menggantikan ayahandanya menjadi Temenggong dan mangkat ia pada 16 Rabiul Awal 1391 Hijrah bersamaan 1902M.


Maka al-Marhum Engku Temenggong Muhamad Saleh mengadakan sembilan orang putera. Yang pertama Engku Abdul Rahman yang menjadi Temenggong. Yang kedua Engku Daik, yang ketiga belum bernama ia telah mangkat dan rupanya seperti buaya separuh sebelah kepalanya, badannya seperti manusia. Bondanya bernama Engku Fatimah Binti Ali. Putera al-Marhum itu dengan isterinya Wan Aishah Binti Awang dua orang, yang pertama Engku Wok, yang kedua Engku Jamilah.


Dan putera Al-Marhum itu dengan isterinya bernama Wan Ketik Binti Ahmad enam orang puteranya. Yang pertama Engku Timah perempuan. Yang kedua Engku Halimah, yang ketiga Engku Dara, yang keempat Engku Mahadi, yang kelima Engku Sailan, yang keenam Engku Mariam. Engku Mahmud mengadakan seorang putera laki-laki yang bernama Engku Abdullah. Engku Kechut perempuan mengadakan seorang putera perempuan bernama Engku Selama Binti Engku Amar. Engku Hamidah berputera dua orang, yang pertama Engku Idris Bin Hassan, yang kedua Raja Mahmod Bin Muhamad Saleh.


Telah disalin dengan taip pada 7 Ogos 1932.

Lebih kurang 530 tahun dahulu,


Raja-raja kerajaan di Melaka dilanggar oleh bangsa Portugis. Kemudian di dalam peperangan itu satu daripada darah raja itu bernama Dato’ Bendahara Tepok. Apabila perang itu hampir akan kalah, rakyat-rakyat raja Melaka pun membawa Dato’ Bendahara Tepok lari malam ke Bukit Berlubang ke hulu Jementah. Apabila sampai di sana Dato’ Bendahara Tepok pun tidak beberapa sihat badannya dibawa oleh rakyatnya ke Segamat di Lubuk Batu. Tatkala itu Segamat belum bernama Segamat iaitu bernama Leban Condong. Apabila Dato’ Bendahara Tepok sampai di Segamat dia pun sedar dari sakitnya. Dia bertanya kepada rakyatnya apa nama tempat ini jawab rakyatnya tiada tahu nama tempat ini ada satu sungai di sini apa sebab segar amat engkau bawa aku kemari meninggalkan raja kita. Kemudian dia berkata serta dia mengambil satu batu dicampakkan ke dalam lubuk itu. Katanya timbul batu ini baliklah aku ke Melaka. Tatkala itu dinamakan Lubuk Batu dan Segamat pun dinamakan Segar Amat. Lebih kurang 4 tahun dia duduk di Segamat dia pun mati kemudian daripada ini Dato’ Sa’Akar Diraja Bin Sayyid Jaafar datang dari Kota Tinggi membuka Segamat apabila Dato Sa’Akar Diraja mangkat meninggalkan anak bernama Sa’Amar Diraja memerintah di Segamat apabila Sa’Amar Diraja mangkat meninggalkan anak bernama Dato’ Paduka Tuan.


Yang Berhormat Tuan R.O. Winstedt S.M.J


dengan selamatnya


di Johor Bahru


Tuan,


Berkenaan dengan pertanyaan tuan atas kubur Bendahara Tepok di Lubuk Batu itu setelah saya siasat pada seorang tua berumur lebih kurang 92 tahun bernama Pak Leman dan ianya masa ini tiada boleh berjalan lagi iaitu ditunjukkannya kepada kubur Bendahara Tepok yang tersebut dalam kawasan kubur-kubur di tepi jalan pergi ke Muar dalam Kampung Lubok Batu iaitu di seberang jalan surau Lubok Batu yang dibangunkan oleh kerajaan dalam tahun 1929-30 dengan belanja $4000/- bagaimana ketentuan dalam S.S. 1017/28. Nisan kubur itu hanya dua biji batu bulat sahaja dengan tiada apa-apa tulisan. Berhampiran dengan kubur itu ada satu kubur kedudukannya lebih tinggi daripada kubur yang lain serta bertembok dengan batu keadaannya baharu dibetulkan dalam zaman ini oleh Wan Hitam iaitu bapa kepada Wan Idris menjadi Deputi Komisioner Kastam Muar ialah dikata oleh Pak Leman ini kubur Sa’Akar Diraja Temenggong dalam Muar dan lebih kurang sedepa daripada kubur itu ialah kubur isteri Sa’Akar Diraja serta gurunya bernama Lebai Ismail. Pada arah hendak mula masuk dari tepi jalan besar ada enam kubur-kubur di dalam satu kumpulan yang bertembok iaitu yang pertama kubur Engku Saiyid (anak Engku Temenggong Konik) yang kedua Engku Ismail yang ketiga Engku Ibrahim yang keempat Temenggong Kunik yang kelima Engku Ampuan Teh yang keenam Engku Chomot. Tidak beberpa jauh daripada kubur Bendahara Tepok ada satu kumpulan kubur-kubur yang berderet pertama Wan Bakal (betina) kedua Sa’Amar Diraja (anak kepada Sa’Akar Diraja) yang ketiga Marhum Burok yang keempat Wan Kandariah yang kelima Engku Perang Besar yang keenam Engku Muda Tanjung dan lagi katanya di seberang Sungai Muar di Lubok Batu ada kubur Engku Perdana Menteri iaitu adik kepada Sa’Amar Diraja ditempat ini didapati hanya satu kubur sahaja yang nampak dengan sebatang nisan demikianlah adanya.


 

Adalah saya dengan hormatnya


 

tandatangan


Pesuruhjaya Kerajaan Segamat 2 Ogos 1932

 

 

 

 

 

 

 

 

Login Ahli



Statistik Pelawat

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterHari ini105
mod_vvisit_counterSemalam114
mod_vvisit_counterMinggu ini727
mod_vvisit_counterLast week1016
mod_vvisit_counterBulan ini3122
mod_vvisit_counterBulan lepas3890
mod_vvisit_counterJumlah297779

We have: 17 guests online
IP anda: 38.107.179.237
 , 
Hari Ini: Feb 23, 2012
Visitors Counter



Powered by Joomla!. Designed by: joomla 1.5 themes .us domain registration Valid XHTML and CSS.